Friday, February 28, 2014

KAMI MAHU BIMBINGAN

“Keinginan semenjak berumur 17 tahun untuk memeluk agama Islam akhirnya tercapai dan perasaan kini lebih tenang daripada biasa dan harapan untuk belajar islam dengan mendalam akan tercapai”.
Demikian luahan saudara baru, Nurul Hidayah Hew Abdullah, 20, yang berasal daripada Damansara, Kuala Lumpur yang memeluk agama islam sekitar akhir Januari yang lalu.

Nurul Hidayah berkata, dia mula berminat untuk mempelajari islam semenjak zaman persekolahan kerana kebanyakan rakannya terdiri daripada orang melayu.

Nurul Hifayah berkata, dia lewat memeluk agama Islam kerana terlalu banyak dugaan dan masalah ditempuhnya untuk mencari mereka yang benar-benar boleh membantu.

“Mujurlah saya berjumpa dengan seorang kawan lelaki yang berasal dari Dungun yang saya kenali semasa bekerja di sebuah firma akauntan yang ingin menolong  saya dan membawa saya jumpa keluarganya di Dungun untuk memberi peluang saya mendekati Islam,” katanya.

Proses memeluk islam itu diuruskan oleh salah seorang ustaz di Dungun yang bernaung di bawah NGO FRONT BERTINDAK ANTI MURTAD (FORKAD) daerah Dungun.

YB Cikgu Alias b Harun, ADUN Rantau Abang juga turut hadir menjadi saksi semasa proses mengangkat syahadah di Taman Rakyat Jaya tersebut.

Ketika ditemui dimajlis perasmian kelas KAFA Surau Taman Rakyat Jaya, Balai Besar  pada Khamis , 17hb Februari 2014 yang lepas, Cikgu Alias Harun memberitahu perkara ini sengaja tidak di maklum kepada umum lebih awal kerana bimbang keselamatan Nurul Hidayah.

“Alhamdulillah sekarang beliau telah selamat didaftarkan di PERKIM , Kelantan dibawah Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa .”


“Dengan kerjasama muslimat Pas Dun Rantau Abang Nurul Hidayah telah dibimbing untuk mempelajari beberapa perkara asas seorang islam.”,tambahnya.

Dalam program perasmian KAFA Surau Taman Rakyat Jaya tersebut YB Cikgu Alias juga turut menyampaikan sumbangan kepada 2 orang saudara baru yang turut hadir untuk memohon sumbangan bagi meneruskan pengajian ke sebuah pondok di Pasir Tumbuh, Kelantan.


Salah seorang saudara baru, Mohd Yaasin Fong b Abdullah, 47 , berasal dari kuala Lumpur memberitahu beliau berminat untuk belajar agama di Kelantan kerana di sana seorang rakan mereka yang telah belajar semenjak 1 tahun lepas.

Sementara seorang lagi saudara baru, Abdul Rahim Tan b Abdullah, 43 tahun, juga berasal daripada Kuala Lumpur memberitahu, beliau amat tertarik dengan islam kerana sering bermimpi berkenaan islam.

Abdul Rahim Tan berkata, beliau sangat berterimakasih kepada Jemaah Surau Taman Rakyat yang sanggup menerima mereka dengan baik dan sanggup melayan mereka walaupun dia baru datang ke sini.

“Saya juga cukup bertuah kerana dapat duduk untuk makan bersama Ahli Parlimen Dungun, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan juga ADUN Rantau Abang YB Cikgu Alias Harun.Ini adalah satu penghormatan kepada kami dan saya ucakan terimakasih kepada semua jamaah surau taman rakyat,” beliau menambah.